Operasi hospital baharu Tanjong Karang 10 Okt

TANJONG KARANG 26 Sept. – Hospital Tanjong Karang baharu yang juga Hospital Pakar Minor berkapasiti 150 katil akan mula beroperasi sepenuhnya pada 10 Oktober ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata hospital baharu itu adalah hospital pakar minor kedua di Selangor akan memanfaatkan lebih 350,000 penduduk sekitar selain menggantikan bangunan lama hospital yang telah berusia lebih 56 tahun.

“Sebanyak 10 bidang kepakaran akan diperkenalkan di hospital itu secara berfasa merangkumi pembedahan, kecemasan, perubatan umum, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, anestesiologi, radiologi, patologi serta bedah mulut dan maksilofasial.

Hospital ini turut menawarkan perkhidmatan pakar secara lawatan bagi otorinolaringologi (ORL), oftalmologi, psikiatrik dan forensik.

Dengan perkhidmatan kepakaran di hospital ini, sebanyak 3,000 kes rujukan membabitkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar yang lain dapat dijimatkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Tanjong Karang di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.

Hospital itu juga akan dilengkapi dengan dua dewan bedah dan wad unit rawatan rapi (ICU) sebanyak empat katil selain satu mesin CT-Scan.

Related posts

Leave a Comment