TEHRAN – Iran menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), organisasi perubatan antarabangsa dan doktor di seluruh dunia bertindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan” susulan serangan ke atas fasiliti perubatan di Iran.
Presiden Masoud Pezeshkian mempersoalkan apakah mesej yang ingin disampaikan dengan menyerang hospital, syarikat farmaseutikal dan Institut Pasteur (Iran) sebagai pusat penyelidikan perubatan di Iran?”
“Sebagai pakar perubatan, saya menggesa WHO, Palang Merah, Doctors Without Borders dan pakar perubatan di seluruh dunia untuk bertindak terhadap jenayah ke atas kemanusiaan ini,” katanya di platform media sosial X, merujuk pada serangan yang dilaporkan ke atas Institut Pasteur Iran di sini.
Pihak berkuasa Iran sebelum ini berkata, serangan udara memusnahkan Institut Pasteur, sebuah pusat penyelidikan perubatan utama, memberi amaran bahawa serangan itu menimbulkan risiko kepada kesihatan awam dan kerjasama perubatan antarabangsa.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei mengutuk serangan itu sebagai “menyayat hati, kejam, keji dan sangat keterlaluan.”
“Penceroboh AS-Israel telah menyerang Institut Pasteur Iran iaitu sebuah pusat penyelidikan dan kesihatan awam tertua dan paling berprestij di Iran dan seluruh Asia Barat, yang diasaskan pada 1920 melalui perjanjian antara Institut Pasteur Paris dan kerajaan Iran,” kata Baghaei pada X.
