Nasib kerajaan, rakyat bukan bahan uji kaji

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasib kerajaan dan rakyat di negara ini bukan bahan uji kaji seperti dilakukan dua bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau menyifatkan tindakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad senada dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dalam ‘menyerang’ kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob adalah kerana kedua-duanya dilihat amat mengidam mahu kembali sebagai Perdana Menteri walaupun terbukti gagal selepas pernah diberi peluang sebelum ini.

Presiden UMNO itu berkata, amat sukar untuk Malaysia mempercayai janji “recycle” (kitar semula) Dr Mahathir, dia akan hanya jadi Perdana Menteri bagi tempoh singkat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PRU-14 dia berjanji hanya jadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun sebelum menyerah jawatan kepada salah seorang sekutunya, namun semua tahu apa yang terjadi.

“Negara jadi kacau bilau menyebabkan BN perlu masuk campur bagi memastikan kelangsungan pentadbiran melalui pembentukan kerajaan sementara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) harus muhasabah diri apabila mendakwa kerajaan campuran sedia ada tidak memiliki pakar yang dapat mengatasi masalah ekonomi.

“Selepas setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi lebih rendah. Banyak perniagaan ditutup menyebabkan ramai hilang pekerjaan.

“Dana seperti Petronas, Khazanah Nasional dan Tabung Haji menyusut. Indeks Bursa pernah jatuh 300 mata ke bawah 1,600. Negara kembali bergantung terhadap rizab petroleum.

“Aset strategik negara dijual untuk menampung perbelanjaan, kerajaan tidak mesra pembangunan infrastruktur, gagal menjaga hubungan diplomatik yang signifikan bagi ekonomi negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dasar ekonomi Malaysia yang progresif berubah menjadi regresif mengundur ke belakang, malah kebajikan rakyat dikurangkan dan paling menyakitkan hati rakyat diminta berkorban serta ikat perut.

“Kerajaan BN yang progresif berjaya meletakkan kadar hutang negara serendah 50.9 peratus berbanding KDNK pada Jun 2017 sedangkan zaman Dr Mahathir pada 1980-an pernah mencecah 103 peratus.

“Agensi penarafan antarabangsa Flitch Rating, Standard & Poor dan Moody’s Investors Service meletakkan ekonomi Malaysia stabil dan berada pada tahap yang baik di bawah kerajaan BN yang progresif,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dakwaan Dr Mahathir juga ibarat menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri kerana anggota Kabinet mengendalikan portfolio berkaitan pemulihan ekonomi ketika ini juga bekas anggota Kabinetnya ketika mengetuai kerajaan PH selama 22 bulan.

“Justeru, Dr Mahathir dengan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri ketujuh yang gagal, sama tidak layak seperti Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuat dakwaan seperti itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment