SEPANG 26 Sept. – Beberapa pemimpin termasuk dalam kalangan parti politik turut bersedih menerima perkhabaran kematian ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, tengah hari ini waktu Qatar.
Melalui media sosial, mereka menyifatkan pemergian tokoh yang berasal dari Mesir itu satu kehilangan kepada umat Islam.
Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, pemergian Syeikh Yusuf mengingatkan betapa umat Islam semakin menghampiri zaman yang disabdakan oleh Rasullullah SAW.
“Sesungguhnya Allah tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Allah menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim.
Ketika itu orang ramai melantik ketua mereka dalam kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673),” katanya dalam satu ciapan di Twitternya, hari ini.
Allahyarham Syeikh Yusuf dilahirkan di Mesir, tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Qatar dan menetap sehingga akhir hayatnya.
Zulkifli berkata, tidak keterlaluan dikatakan kebanyakan ulama memanfaatkan jujukan karyanya yang amat bermanfaat kepada ummah.
“Walaupun beliau tidak menjadi seperti yang dicitakan iaitu Syeikhul Azhar, hakikatnya beliau adalah antara Syeikhul Ummah yang menjadi panutan seluruh dunia.
“Selamat jalan wahai Syeikhul Ummah, pemergianmu ditangisi dunia dan seisi. Moga bersua satu hari nanti di negeri yang abadi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata dunia kehilangan permata ummah, seorang ulama yang mencetak banyak kader dakwah dan membangunkan pemikiran umat melalui karya tulisannya yang sangat banyak.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi.
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan solihin,” katanya.
Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam catatan Facebooknya menyifatkan Allahyarham seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa kepada ummah.
“Semoga pemergiannya dirahmati Allah dan diganjari dengan balasan syurga Firdaus. Al Fatihah…,” katanya.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim pula berkata, umat Islam seluruh dunia kehilangan salah seorang mujaddid ulung dunia Islam sepanjang abad lalu.
“Sesungguhnya umat Islam seluruh dunia amat berdukacita di atas kembalinya ke rahmatullah Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi tengah hari sebentar tadi (mengikut waktu Qatar),” katanya melalui Facebook.
Anwar berkata, Allahyarham adalah sahabat dan tokoh rujukannya sejak zaman mahasiswa ketika memimpin gerakan Islam dan sering mengundang tokoh itu ke Malaysia termasuk semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“.Doa dan surat yang sering diutus tatkala dalam kesulitan begitu mengesankan dan memperteguh semangat dan idealisme saya dalam perjuangan,” katanya.
Beliau secara peribadi amat merasai kehilangannya, dan sumbangan serta legasi yang ditinggalkan ternyata membekas dalam setiap sanubari kaum Muslimin.
“Semoga Allah SWT memberi tempat dan ganjaran yang teristimewa buat beliau,” katanya.
