Prof. Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia

SEPANG 26 Sept. – Ulama tersohor dunia kelahiran Mesir, Prof Yusuf al-Qaradawi menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia  96 tahun.

Berita duka pemergian mantan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia (IUMS) itu diumumkan di akaun media sosial rasmi Allahyarham.

Dilahirkan pada 9 September 1926, Allahyarham dikenali sebagai seorang Mujtahid di era moden ini.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Allahyarham sangat masyhur  menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Pada tahun 2009, atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment