Ismail Sabri kekal ‘poster boy’, calon PM

PUTRAJAYA 26 Sept. – Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid, mengesahkan Ismail Sabri Yaakob masih menjadi calon Perdana Menteri dan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau menafikan dakwaan bahawa Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi kini menjadi calon perdana menteri bagi BN.

Katanya, mesyuarat sebelum ini memang memutuskan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri.

“Siapa tular? Kat mana tular tu? Setakat ini keputusan yang kita buat di peringkat parti Ismail Sabri adalah ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri selepas PRU-15.

“Saya sebagai Naib Presiden parti mengatakan tidak pernah ada mesyuarat (yang memilih Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Semenanjung Malaysia (Kesateria) kali kedua di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa Ahmad Zahid yang akan menjadi calon Perdana Menteri bagi BN, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat lalu yang melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah.

Mahdzir berkata, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu adalah tindakan yang mahu melaga-lagakan semua pihak.

Justeru, beliau berkata, apa yang dibangkitkan dalam mesej yang tular itu tidak timbul.

Ditanya adakah mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September ini akan membincangkan kedudukan calon Perdana Menteri, Mahdzir hanya menjawab mereka mungkin bincangkan soal pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment