Ahli kariah aktif Masjid As Syarif

SERDANG 28 Sept. – Ada yang bertanya kenapa tidak Masjid Negara atau Masjid Putrajaya menjadi lokasi penghormatan terakhir untuk Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berbanding Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah.

Alasan yang bertanya termasuklah keupayaan menampung lebih ramai kehadiran terutama ketika solat jenazah.

Rupanya, Allahyarham yang kediamannya bersama Dr Mahathir Mohamad terletak di Seri Kembangan adalah antara ahli kariah yang aktif di Masjid As Syarif, di sini, sejak kira-kira lima tahun lalu.

Imam Tiga Masjid As Syarif, Dzulhayah Wahab, seperti dilaporkan media memaklumkan Dr Siti Hasmah adalah ahli kariah yang kerap hadir dalam program yang dianjurkan masjid berkenaan.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, beliau kerap menghadiri program kami (anjuran masjid terbabit termasuk majlis berbuka puasa serta solat tarawih.Jadi, beliau rapat dengan AJK (ahli jawatankuasa) masjid. Beliau sudah seperti kawan yang mesra kepada kami.

Jadi, mungkin sebab itu, masjid ini dipilih untuk diadakan solat jenazahnya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid As Syarif, Mohamad Reduan Mohamad Daud berkata, pihaknya cuba membuat yang terbaik bagi menjalankan tanggungjawab fardu kifayah menguruskan solat jenazah Dr Siti Hasmah.

“Kami cuba buat yang terbaik. Sekiranya ada kekurangan daripada pihak masjid, kami minta maaf. Sejujurnya, kita tidak meletakkan sebarang harapan daripada orang ramai apabila masjid ini menjadi tumpuan.

“Niat kami ikhlas menyelesaikan urusan jenazah beliau selaku kariah masjid ini,” katanya yang menyifatkan kehadiran orang ramai bagi memberi penghormatan kepada Dr Siti Hasmah adalah di luar jangkaan.

“Dianggarkan lebih 2,000 orang yang hadir dan jumlah itu memang di luar jangkaan.

Namun, kita tahu beliau bukan calang-calang orang, boleh dikatakan sebagai ibunda negara.

“Rasanya ramai yang mahu hadir, namun disebabkan kekangan masa serta tempat ini yang sempit mungkin mengehadkan pergerakan. Namun, jumlah yang hadir dikira ramai. Ia (jumlah kehadiran yang ramai) adalah rezeki buat beliau,” katanya.

Terdahulu, solat jenazah Dr Siti Hasmah selesai pukul 5.15 petang sebelum dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya jam 5.20 petang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment