Tiada pergerakan tiada jangkitan

TANJONG 29 Jan. – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengajak rakyat negeri itu  mengambil pendekatan ‘Tiada Pergerakan, Tiada Jangkitan’ dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata slogan tersebut akan menjadi pendekatan utama dalam kempen komunikasi Penang Lawan Covid-19.

Katanya, semua rakyat Pulau Pinang perlu berganding bahu bersama-sama kerajaan negeri dan barisan hadapan dalam usaha menurunkan jumlah jangkitan kes di negeri ini.

Menurut beliau, pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berkongsi kerisauan bahawa matlamat untuk mengurangkan jumlah jangkitan kes adalah sukar dicapai sekiranya pergerakan tidak dihadkan.

Justeru Chow dalam kenyataannya berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah perlu diperketatkan dan komunikasi risiko juga adalah perlu diperkukuhkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat berhubung amalan normal baharu. 

“Pada peringkat komuniti, fokus yang bakal dilaksanakan adalah dengan mewujudkan jawatankuasa pengurusan bencana serta pemerkasaan komuniti dengan memperincikan risiko kadar jangkitan di peringkat lokaliti,” katanya.

Selain itu beliau berkata adalah menjadi keperluan untuk mempercepat serta memperketatkan pelaksanaan saringan pekerja warganegara serta bukan warganegara sama ada di bawah program saringan ditetapkan kerajaan dan juga atas inisiatif majikan sendiri.

Related posts

Leave a Comment