Tidak gentar cubaan gugat UMNO

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kesepaduan parti akibat takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO.

“Mereka tahu apabila Parlimen bubar, maka mimpi ngeri mereka semakin tiba, yang lompat parti dihukum oleh pengundi mereka sendiri sebelum ini. Ramai juga takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk mereka di kawasan,” katanya.

Ahmad Zahid dalam kenyataan di media sosial berkata, sebagai Presiden parti beliau perlu tegas, tidak goyang dengan ancaman politik dan berpendirian teguh.

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Maka, saya tidak gentar mempertahankan parti UMNO walaupun berdepan pelbagai ugutan dan ancaman politik.

“Saya tetap istiqamah meskipun ketika itu ramai pemimpin UMNO sendiri menjauhi UMNO kerana percaya dakyah Dr Mahathir bahawa parti UMNO tidak ada masa depan.

“Saya sendiri tidak pernah masuk politik melalui tingkap, sebaliknya karier politik saya melalui tangga politik dari bawah. Justeru, saya amat memahami suara akar umbi UMNO pelbagai lapisan,” katanya.

Mengulas keputusan mahkamah, katanya, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah itu membebaskannya daripada 40 pertuduhan yang dihadapi.

“Selama ini saya dilabel dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil, menolak UMNO keseluruhan dan juga cubaan untuk menolak saya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN kerana mereka tahu, tanpa saya, UMNO lebih mudah diperkotak-katikkan sesuka hati mereka.

“Misalnya ada yang sengaja menggunakan label kluster mahkamah kepada saya, namun tidak pula menggunakan label itu kepada pemimpin pembangkang. Sikap ‘double standard’ (pilih kasih) ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik.

“Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut. Saya boleh maafkan, tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment