Pembangkang tonjol kecelaruan, kepelikan

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Pembangkang Malaysia sedang menonjolkan kecelaruan dan kepelikan ketika  menyenaraikan 10 menteri kerajaan sebagai gagal, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya , pembangkang menyenaraikan ramai menteri telah gagal, namun membantah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu.

“Logik pembangkang, PRU-15 tidak boleh diadakan supaya kerajaan yang dibarisi menteri dituduh gagal boleh terus fokus menjaga kebajikan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan melalui media sosial.

Baru-baru ini Pengerusi DAP Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan terhadap 10 menteri Kabinetnya yang didakwa gagal  melaksanakan tugas dan gagal mencapai ‘gred’ sebagai menteri.

Mereka adalah Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli,  Takiyuddin Hassan, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man,  Menteri Sumber Manusia  M Saravanan.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, Menteri Komunikasi dan Multimedia  Annuar Musa,  Menteri Wilayah Persekutuan,  Shahidan Kassim dan Menteri Ekonomi,  Mustapa Mohamed.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bagaimanapun memahami dengan jelas tidak semua yang dipropagandakan kepada menteri gagal itu adalah benar kerana ianya bermotifkan politik pembangkang.

“Sebenarnya kepelikan dan kecelaruan ini ekoran pembangkang amat takut untuk berdepan PRU-15 kerana tahu mereka sedang ditolak oleh rakyat. Tetapi dalam masa sama mahu terus menjadikan kerajaan campuran “punching bag” bagi menghasut kebencian menyebabkan mereka ‘cakap tak serupa bikin’,” katanya

Menurut Ahmad Zahid, kecelaruan pembangkang sebenarnya sudah pun terserlah sejak mendakwa kestabilan politik telah dibentuk di Malaysia kerana memeterai MoU dengan kerajaan.

Beliau berkata, selepas menjalin MoU, semakin kuat pula memburuk-burukkan kerajaan malah berusaha menggagalkan usul kerajaan di Parlimen serta menolak tawaran kerjasama bagi berkongsi idea dengan pasukan khusus menangani inflasi yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Meskipun demikian pembangkang tidak sepatutnya ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia pula yang lebih’ berhubung soal kegagalan.

“Menuduh orang lain gagal, tetapi mereka sebenarnya yang gagal apabila menyebabkan ekonomi negara merudum semasa menjadi tampuk kerajaan.

“Pembangkang sejurus menguasai kerajaan selepas 9 Mei 2018 mengubah polisi ekonomi negara dan meminta rakyat berkorban serta ikat perut akibat kegagalan yang telah mereka lakukan,” katanya.

Justeru, kata Ahmad Zahid, satu-satunya pilihan yang ada untuk rakyat mengembalikan dan mengabsahkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dengan memilih BN pada PRU-15 nanti.

(Foto FB Lim Guan Eng)

Related posts

Leave a Comment