Mengundi sudah jadi fardu ain

KUALA KANGSAR 24 Sept. – Tanggungjawab mengundi kini bukan lagi fardu kifayah sebaliknya fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang beragama Islam berdasarkan kepada situasi politik semasa, kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Justeru Pas menggesa semua pengundi baharu berumur 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, amat malang sekiranya dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu atau umat Islam yang telah diberi ruang untuk mengundi pada pilihan raya, tetapi tidak berbuat demikian.

“Ini kerana dalam suasana orang Islam dalam bahaya ketika ini, (keperluan untuk turun mengundi) sudah jadi fardu ain, bukan lagi fardu kifayah.

“Kalau ada ulama nak cabar saya (berkenaan pandangan ini) saya sanggup lawan. Bacalah dalam kitab-kitab fiqah, dalam bab jihad. Kita memilih (pilihan raya sebagai medan) jihad secara damai, tidak mahu secara keras.

Malah, ulama mengatakan apabila Islam sudah berdaulat dan memerintah, maka ia jihad yang fardu kifayah. Namun, apabila Islam jatuh dan dalam bahaya, jihad itu menjadi fardu ain,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millenium Lubuk Merbau di sini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata pengundi muda tidak seharusnya memandang ringan soal politik dan seterusnya menentukan pemimpin negara melalui pilihan raya.

“Ramai orang muda menganggap mengundi ini tidak penting, lalu mereka tidak keluar mengundi. Mereka mengatakan tidak perlu ambil tahu tentang hal politik.

“Ada juga yang cakap sesiapa sahaja yang memerintah sekali pun, sama sahaja. Sebaliknya dia tidak sedar bahawa kuasa politiklah yang menentukan kedaulatan Islam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment