Kes cacar monyet turun 22 peratus

AMERIKA SYARIKAT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).melaporkan kes cacar monyet di Amerika Utara dan Eropah menurun sebanyak 22 peratus bagi keseluruhan kes pada minggu lalu.

Lima lagi kematian global dilaporkan sejak laporan WHO pada 7 September lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23 dengan 14 daripadanya dari negara Afrika.

Ia tidak termasuk dalam laporan itu membabitkan kematian baharu di Republik Czech, dengan pesakit turut mengalami radang paru-paru, selain dijangkiti HIV.

Pada minggu lalu, 23 negara melaporkan peningkatan kes dengan Chile melaporkan lonjakan paling ketara. Tiga negara yang melaporkan kes pertama mereka adalah Guam, Bahrain dan Ukraine.

Amerika Syarikat, Sepanyol, Brazil, Perancis, Jerman, United Kingdom, Peru, Kanada, Colombia dan Belanda menyumbang 86.7 peratus daripada kes di seluruh dunia dengan kes masih kebanyakannya membabitkan lelaki dewasa.

Menurut WHO, dalam kalangan pesakit yang mempunyai orientasi seksual, sebanyak 90.9 peratus dikenali sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Hubungan melalui sentuhan kulit dan mukosa ketika aktiviti seksual turut terbabit dalam 90.9 peratus daripada semua kejadian kes yang dilaporkan itu.

Dalam kalangan pesakit yang mempunyai status HIV yang diketahui pula, sebanyak 44.2 peratus adalah positif virus itu.

Sementara itu, dalam taklimat media, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dilaporkan berkata 105 negara melaporkan 62,000 kes yang disahkan virus berkenaan, tetapi menekankan hala tuju kes yang semakin menurun.

“Trend ini menggalakkan (penurunan), tetapi ia bukan masanya untuk mana-mana negara menganggap ia akan berterusan. Inilah masanya untuk kita terus melakukan apa yang berkesan,” katanya

Related posts

Leave a Comment