WHO lapor kes Ebola meningkat

RWANDA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya 134 kes Ebola disahkan dalam wabak yang kini melanda Republik Demokratik Congo dan Uganda dengan jumlah kematian 18 orang.

Laporan itu menunjukkan kes berkenaan termasuk sembilan di Uganda dan seorang doktor dari Amerika Syarikat (AS) yang merawat pesakit di Congo dan kini menerima rawatan di Jerman.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus bertemu rakan kerjasama kesihatan dan kemanusiaan beroperasi di Congo untuk membincangkan tindak balas terhadap wabak yang berpunca daripada virus Bundibugyo di timur negara itu.

“Kami semua bersetuju mengenai kepentingan penyelarasan dan kerjasama yang diperkukuh dalam kalangan semua rakan kerjasama, dalam menyokong kerajaan dan komuniti di Wilayah Ituri, yang paling terjejas oleh wabak itu,” tulis Tedros di X selepas mesyuarat itu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Congo, kes baharu yang disyaki terus didaftarkan dengan jumlah kumulatif lebih 1,000 direkodkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei.

Tedros berkata, pihaknya turut membincangkan kelebihan bekerja dengan rangkaian komuniti, untuk menyampaikan mesej yang berkesan kepada penduduk tempatan bagi membina kepercayaan terhadap langkah-langkah yang boleh melindungi semua orang daripada virus dan membantu membendung penyebarannya.

Ia melibatkan kumpulan agama, perniagaan dan wanita, kepada pengaruh radio dan media sosial.

Menurut WHO, strain Ebola Bundibugyo, tertumpu di tiga wilayah Congo timur termasuk Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan, mempunyai kadar kematian antara 30 peratus dan 50 peratus dalam kalangan kes yang disahkan.

Nn

Related posts

Leave a Comment