Sekat, Fahmi rujuk ke mahkamah

SEPANG 8 Jun – “Kita jumpa di mahkamah”, demikian reaksi aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza susulan tindakan pihak berkuasa menghalangnya untuk ke luar negara semalam.

Melalui ‘surat’ kepada Kerajaan Madani, Fahmi berkata, jawapan yang diberi berhubung sekatan ke atasnya menunjukkan sikap saling menuding jari melibatkan polis dan imigresen.

Katanya, beliau tidak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang menyebabkan kebebasannya untuk bergerak disekat.

“Korang senang je cakap tiada sekatan rasmi, tapi realitinya aku tetap kena sekat semalam.Aku tak dapat ke luar negara, dinafikan hak sebagai rakyat” katanya melalui ‘surat’ yang disiarkan di Facebooknya.

Beliau memberi reaksi itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan ke atas aktivis itu.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Fahmi Reza tidak dikenakan sekatan pergerakan sebaliknya dimasukkan dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fahmi berkata, beliau hanya rakyat biasa, yang apabila disekat pergerakan telah menyusahkan dirinya, merugikan masa dan wang sedangkan pihak berkuasa “cuci tangan” tidak mahu mengaku salah.

“Kalau rakyat buat salah korang (kerajaan) tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah, kali ini giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah. Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat patut berani melawan.

Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat,” ujarnya sambil menyatakan akan menggunakan ‘saluran betul’ berhubung isu yang dihadapi iaitu merujuk kepada mahkamah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment