GENEVA: “Kami mahu operasi ketenteraan dihentikan sepenuhnya. Kami mahu mempunyai jeda kemanusiaan,” kata jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jens Laerke.
Beliau berkata: “itulah satu-satunya cara untuk kami dapat menjalankan tugas kami dengan betul.” sambil menegaskan lebih p banyak tindakan ketenteraan biasanya tidak membantu usaha-usaha kemanusiaan.
Katanya, adalah “sukar untuk meramalkan” bagaimana ia akan mempengaruhi operasi menyampaikan bantuan kemanusiaan secara keseluruhan, memandangkan situasi “sangat dinamik” di lapangan dengan pasukan bersenjata bergerak ke kawasan yang berbeza.
Laerke memberi amaran bahawa bantuan “tidak sampai kepada penduduk” di Gaza dan akibatnya “kanak-kanak kebuluran.”
“Mereka jelas tidak mendapat jumlah yang mereka sangat perlukan untuk mengelakkan kebuluran,” kata Laerke, dalam taklimat PBB di Geneva.
Tentera Israel pada Rabu mengumumkan bahawa ia menguasai Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.
Koridor Philadelphi adalah jalur tanah sempit sepanjang 14 kilometer yang berfungsi sebagai zon penampan di sempadan Mesir-Gaza dan dijamin oleh Perjanjian Damai Israel-Mesir pada 1979.
Sementara itu, mengenai bantuan kemanusiaan di Gaza, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Margaret Harris, memetik kajian pemantauan pasca pengagihan yang dijalankan oleh kluster pemakanan, menunjukkan kepelbagaian pemakanan telah merosot pada bulan Mei.
Beliau berkata, 95 peratus kanak-kanak makan kurang daripada dua kumpulan makanan yang berbeza setiap hari.
“Perkara yang paling mengejutkan bagi saya adalah 85 peratus kanak-kanak tidak makan selama sehari penuh, sekurang-kurangnya sekali dalam tiga hari sebelum kajian dijalankan.
“Jadi anda bertanya, adakah bekalan sampai? Tidak. Kanak-kanak kebuluran,” katanya.
Nnn
