Polis pengiring jaga keselamatan 2 bekas PM

TANJONG 23 Sept. – Dua beradik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan Yingluck Shinawatra, mendapat khidmat polis pengiring sebagai langkah menjaga keselamatan ‘orang berkepentingan’.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata khidmat anggota pengiring diberikan bagi menjaga keselamatan dua beradik itu sepanjang tempoh mereka bercuti di negeri ini.

“Khidmat polis pengiring diberi memandangkan risiko kemungkinan terdapat orang yang berniat tidak baik, mengambil kesempatan.

“Polis menjalankan tugas menjaga keselamatan, jadi ia tidak perlu dijadikan isu atau dipolitikkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Pengalaman lampau juga mendorong polis mengambil langkah keselamatan itu.

Mohd Shuhaily berkata, Pulau Pinang mempunyai pengalaman lampau lima tahun lalu, membabitkan kehilangan wanita warga Australia, Annapuranee Jenkins, yang berada di sini.

“Ia bagaikan mimpi ngeri kepada polis negeri, dan kehilangan wanita itu menjadi isu, malah sehingga kini inkues kematiannya masih dijalankan,” katanya.

Pada 13 Disember 2017, Annapuranee Jenkins meninggalkan hotelnya di Jalan Magazine dengan menaiki teksi bagi pemeriksaan pergigian di sebuah klinik di Jalan Burmah.

Selepas itu, dengan bantuan pembantu klinik, wanita berkenaan menaiki Uber ke rumah jagaan ibunya di Batu Lanchang.

Dia bagaimanapun, turun lebih awal dari destinasinya di Ramakrishna Ashram di Jalan Scotland sebelum didapati hilang.

Kehilangannya disebut semula sehingga 24 Jun 2020, apabila seorang pekerja binaan menemukan tulang pelvis bersama kad kunci hotel yang didaftarkan di atas nama wanita di tapak bersebelahan Turf Club di Jalan Batu Gantung, di sini.

Tulang terbabit kemudian disahkan milik Annapuranee.

Sementara itu media melaporkan pasangan adik-beradik bekas Perdana Menteri itu kelihatan berkunjung ke Pasar Lebuh Cecil di sini dan menikmati hidangan tempatan.

Yingluck turut memuat naik sebanyak 16 foto dalam album Penang2022 di laman Facebooknya, yang turut memaparkan beliau dan abangnya bersiar-siar di sekitar pusat bandar dengan menaiki beca.

Thaksin adalah Perdana Menteri Thailand sejak 2001 sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada 2006 manakala Yingluck adalah Perdana Menteri wanita pertama Thailand yang berkhidmat di antara 2011 dan 2014.

(Foto Fb Yingluck Shinawatra)

Related posts

Leave a Comment