Pandemik Covid-19 belum berakhir

GENEVA 23 Sept. – “Pandemik (Covid-19) belum berakhir, namun sudah nampak pengakhirannya… Dapat melihat penghujungnya tidak bermakna kita berada di penghujung,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata pandemik itu masih menyebabkan 10,000 kematian setiap minggu, kebanyakannya boleh dicegah, manakala jurang vaksinasi yang besar berlaku, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ini bermakna semua orang perlu menggunakan, apabila perlu, alat mudah yang tersedia untuk kekal selamat, penjarakan sosial, pelitup muka serta pengudaraan. Ini bermakna semua orang memerlukan akses kepada alat perubatan untuk kekal selamat: vaksin, ujian dan rawatan,” katanya.

Dalam hubungan ini WHO sekali lagi memberi amaran terhadap sikap ambil mudah dalam memerangi Covid-19, menggesa supaya penyelarasan tindakan dan komitmen politik dibuat bagi menyelamatkan nyawa serta mencegah kemerosotan ekonomi serta kesihatan akibat pandemik semasa.

Tedros mengeluarkan amaran itu susulan laporan baharu Majlis Penggerak Kemudahan-ACT pada Khamis bahawa pandemik global belum berakhir dan belum masanya untuk berpuas hati dengan Covid-19.

ACT yang diasaskan bersama WHO adalah kerjasama global untuk mempercepat pembangunan, pengeluaran dan akses saksama kepada ujian, rawatan dan vaksin Covid-19.

Laporan itu merumuskan bahawa banyak negara masih jauh ketinggalan daripada mencapai sasaran global mengenai liputan vaksinasi, kadar ujian, dan akses kepada rawatan dan PPE.

Walaupun ada kemajuan, ancaman global Covid-19 masih belum selesai, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi di negara berpendapatan rendah.

Laporan itu menyebut, kadar vaksinasi Covid-19 di negara berpendapatan rendah hanya 19 peratus, berbanding hampir 75 peratus di negara berpendapatan tinggi; dan pelancaran rawatan baharu Covid-19 yang menyelamatkan nyawa termasuk antivirus oral di negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah masih terhad atau tidak wujud.

Sebagai langkah jangka panjang, kumpulan kerja itu juga mengesyorkan supaya akses saksama disediakan bagi menangani Covid-19 selain persediaan bagi menyepadukan pengurusan virus dalam sistem kesihatan utama.

Related posts

Leave a Comment