Eksport ketum tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR 17 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti  dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menterinya Hamzah Zainudin berkata ini, cadangan itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini.

Akta itu antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

“Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar. (Namun) pada ketika ini memang kita tidak akan benarkan (penjualan daun ketum) untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di sini hari ini.

Semalam Sanusi dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Beliau berkata daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran itu, kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan.

Mengenai pembukaan sempadan , Hamzah berkata, semua persediaan penuh daripada segi kawalan keselamatan telah dilakukan lebih awal.

“Sebenarnya KDN sudah sangat bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara dari awal lagi, dan sebelum buka (sempadan) pun beberapa kajian perlu dilakukan, jadi tiada masalah bagi kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment