Kerajaan stabil tanpa dominasi UMNO

KUALA NERUS 23 Sept. – Kerajaan campuran mungkin lebih stabil sekiranya UMNO tidak mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sesebuah negeri seperti berlaku di Melaka dan Johor yang terpaksa mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas,  Muhammad Sanusi Md Nor  berkata, PRN Melaka dan Johor berlaku disebabkan kerusi DUN di negeri itu didominasi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kalangan UMNO masih mengamalkan perangai lama iaitu akan melarikan diri daripada terus berada dalam kerajaan campuran menyebabkan PRN terpaksa dilakukan.

“Kerajaan campuran tidak akan bertahan lama dan stabil jika UMNO mendominasi lebih banyak kerusi seperti yang berlaku di Melaka dan Johor,” katanya pada program ceramah 3 Menteri Besar Pas dan pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Terengganu sempena Pra Himpunan Pertahan di Dataran Kompleks Sukan negeri, di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, hanya terdapat dua ADUN, termasuk seorang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri daripada UMNO di Kedah.

Katanya, lima Exco termasuk jawatan Menteri Besar daripada kalangan pemimpin Pas, manakala enam daripada Bersatu.

Lima daripada ADUN Bersatu dilantik sebagai Exco kerajaan negeri, manakala seorang lagi dilantik sebagai Yang Dipertua DUN.

“Kedudukan kerajaan Kedah tidak terjejas jika dua wakil daripada UMNO keluar daripada kerajaan seperti yang berlaku di Melaka dan Johor,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan UMNO untuk menghadapi PRU-15, Muhammad Sanusi berkata, Retreat Pas yang diadakan di Langkawi, Kedah memutuskan parti akan menghadapi PRU-15 bersama Perikatan Nasional (PN).

Related posts

Leave a Comment