Ahmad Zahid lepas dan bebas 40 tuduhan

SHAH ALAM 23 Sept. – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Yazid Mustafa memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Menurut Mohd Yazid, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menerima suapan daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat oleh Hakim Mohd Yazid selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Ahmad Zahid diwakili peguam, Hisyam Teh Poh Teik,  Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Selain kes membabitkan VLN, Ahmad Zahid turut dibicarakan atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.

Beliau diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu.

Related posts

Leave a Comment