PUTRAJAYA 21 Sept. – Malaysia akan membawa masuk 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan menggajikan pekerja warga asing, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.
Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 September lalu dengan mengambil kira keadaan negara itu yang dilanda krisis ekonomi.
Katanya, Kerajaan Sri Lanka sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.
“Ini antara usaha kerajaan untuk membantu Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Saravanan menggesa, pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan dengan menggajikan pekerja warga asing dari Sri Lanka dalam sektor berkaitan.
Beliau berkata, majikan yang sudah diberi kelulusan kuota dan menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang mendapatkan pekerja asing dari Sri Lanka itu.
Sementara itu, Saravanan berkata, sehingga 14 September lalu, bayaran levi sudah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja warga asing.
Beliau berkata, majikan yang berminat, boleh terus menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM (oscksm@mohr.gov.my) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (jtksm@mohr.gov.my) untuk maklumat lanjut.
April lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) dilaporkan mahu proses kelulusan bagi permohonan mendapatkan pekerja asing, disegerakan bagi menampung keperluan mendesak terhadap tenaga kerja berkenaan.
Pengerusinya, Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, ia boleh dilaksana dengan mengurangkan karenah birokrasi dan mempermudah serta menambah baik proses kelulusan permohonan itu yang diterima daripada industri.
