63,267 kes penipuan libatkan RM1.39 bilion

PUTRAJAYA 21 Sept. – Sebanyak 63,267 kes bagi lima jenis penipuan yang paling kerap dilaporkan di negara ini direkodkan dalam tempoh kurang tiga tahun dengan jumlah kerugian melebihi RM1.39 bilion.

Penipuan itu melibatkan Macau Scam, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud (PTW), penipuan pelaburan dan love scam.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Komputer/ Internet/ Harta Intelek/ Cakera Optik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Superintendan Madhavan Nair Unnikrishnan, berkata kes berkenaan direkodkan antara 2020 hingga Ogos lalu.

Katanya, Macau Scam paling banyak menyumbang pada jumlah kes dan kehilangan wang dalam tempoh tiga tahun ini dengan 17,870 kes membabitkan kerugian RM740 juta.

Ini disusuli penipuan e-dagang yang meningkat ketika pandemik dengan 21,871 kes melibatkan kerugian RM204 juta dan kes PTW pula banyak menjadikan mereka yang terdesak memerlukan wang sebagai mangsa, dengan 12,696 kes membabitkan RM138 juta.

Kes pelaburan pula antaranya membabitkan tawaran pulangan sehingga 200 peratus dalam 24 jam dengan 7,241 kes dan kerugian RM155 juta, selain love scam yang mencatat 3,589 kes dengan kerugian RM155 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia (ICTSO) 2022 di sini, hari ini.

Madhavan memaklumkan masih ramai individu terperangkap dengan taktik penipuan itu meskipun sudah menyedari mengenai kewujudan jenayah berkenaan, termasuk dalam kalangan golongan profesional yang berpendidikan tinggi.

Katanya, ada satu kes love scam membabitkan seorang doktor dengan kerugian RM1.3 juta.

Madhavan meminta orang ramai untuk tidak terpedaya jika menerima panggilan mendakwa daripada PDRM, bank, pejabat pos atau mana-mana agensi yang meminta maklumat peribadi atau sejumlah wang.

“Agensi seperti polis dan lain-lain hanya akan hubungi jika mahu tetapkan janji temu. Jika anda ragu dengan panggilan bank pula, tamatkan panggilan dan hubungi semula atau pergi terus ke bank berkenaan untuk pengesahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment