Lebih 83 peratus perkara MoU dilaksana

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Lebih 83 peratus perkara yang disepakati dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) berjaya dilaksanakan.

Menurut Pengarah Komunikasi PH yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu MoU itu, Fahmi Fadzil, kesemua transformasi dilakukan ini untuk menjadikan negara lebih stabil.

Pada masa yang sama ia juga membuktikan kepada rakyat, PH mampu mengetepikan sentimen politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Katanya, beberapa pindaan Perlembagaan dapat dilakukan dan ia tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya MoU ini.

“Jika kesemua transformasi ini boleh dicapai melalui MoU ini, bayangkan betapa banyaknya transformasi dan reformasi institusi yang boleh dilakukan sekiranya peluang dan mandat rakyat diberikan sekali lagi kepada PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 September tahun lalu, PH bersetuju untuk memeterai MoU dengan Kerajaan Persekutuan lalu membentuk kerjasama dwipartisan ke arah reformasi institusi negara.

Fahmi berkata, antara kejayaan hasil pencapaian MoU ini termasuk kelulusan undang-undang bertukar parti yang diluluskan di Parlimen pada 28 Julai lalu.

“Ini adalah kemenangan terbesar buat rakyat dan satu titik permulaan baharu dalam sistem demokrasi negara. (Selain itu), pindaan umur kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik telah diwartakan secara rasmi dan mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021,” katanya.

Turut dimeterai, pemberian moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kebebasan badan kehakiman supaya sentiasa bebas dari sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Pembaharuan Parlimen menjadi salah satu daripada enam transformasi utama dalam MoU ini dan antara pencapaian utama ialah melalui pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan penyertaan yang lebih seimbang di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“(Selain itu) hasil MoU ini, kesemua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dirangkumi MoU ini menerima peruntukan yang sama, demi menjamin khidmat yang berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment