Kes pulih atasi kes baharu

PUTRAJAYA: Jumlah kes pesakit pulih Covid-19 meningkat 119 kes melebihi 110 kes baharu yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dan telah discaj dari hospital adalah sebanyak 2,766 kes, atau bersamaan 53.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata,  berikutan pertambahan kes baharu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,182 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,332 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Sehingga kini, seramai 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian di sini .

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 84 kes atau bersamaan dengan 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kes kematian ke-84 (kes ke-4,711) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.55 tengah hari Rabu.

Related posts

Leave a Comment