4,500 ikrar derma organ

PUTRAJAYA 14 Sept. – Seramai 4,500 ikrar penderma organ diterima sejak ciri baharu Ikrar Derma Organ melalui MySejahtera dilancarkan 6 September lalu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“4,500 ikrar penderma organ sejak kami lancarkan ciri ini di @my_sejahtera. Tolong sebarkan.

“Jadilah pengikrar penderma organ hari ini. Selamatkan lebih banyak nyawa,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini memperkenalkan ciri baharu dalam MySejahtera, yang membolehkan pengguna menjadi pengikrar penderma organ selepas kematian, menerusi aplikasi itu.

Langkah berkenaan adalah sebagai usaha KKM untuk meningkatkan kadar penderma organ, selepas Malaysia disenaraikan antara 10 negara dengan kadar pemindahan organ terendah di dunia, tahun lalu.

Ciri baharu Ikrar Derma Organ telah dilancarkan pada 6 September lalu dalam kemas kini MySejahtera baharu (versi 2.0.5) yang membolehkan sesiapa sahaja untuk mengikrarkan atau menarik balik ikrar mereka pada bila-bila masa masa.

Apabila berikrar, waris terdekat juga akan dimaklumkan.

Sementara itu menerusi perkongsian di laman Facebook KKM, sambutan rakyat Malaysia juga sangat menggalakkan.

Menurut hantaran itu, setakat pukul 3 petang, Isnin lalu, terdapat 4,500 ikrar dibuat pada MySejahtera.

“Secara purata, terdapat kira-kira 700 pengikrar penderma organ baharu sehari sejak ciri baharu ini diperkenalkan. Ia disumbangkan oleh kemudahan untuk proses ikrar dalam inisiatif ini. Maklumkan jua kepada keluarga anda berkenaan ikrar yang telah dilakukan,” kata KKM.

Related posts

Leave a Comment