Sultan Brunei kini paling lama di takhta

LONDON: Selepas kemangkatan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II pada Khamis lalu, Sultan Hassanal Bolkiah kini menjadi raja paling lama berkhidmat di dunia iaitu selama 54 tahun dan 339 hari sehingga Jumaat lalu.

Sultan Hassanal Bolkiah, 76 yang menaiki takhta pada tahun 1967 mengatasi lebih empat tahun lebih lama daripada Ratu Margrethe II dari Denmark.

Ratu itu kini menduduki tempat kedua sebagai pemerintah diraja masih hidup yang paling lama memerintah.

Sebelum ini, Ratu Elizabeth II menjadi Ketua Negara yang paling lama berkhidmat di dunia dan majlis meraikannya diadakan baru-baru ini sempena ulang tahun ke-70 pertabalannya pada awal tahun ini.

Beliau menaiki takhta ketika berusia 25 tahun pada tahun 1952 selepas Perang Dunia II.

Sultan Hassanal Bolkiah juga menjadi Perdana Menteri Brunei sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom pada tahun 1984.

Sementara itu, dalam titah perutusan takziah kepada Raja Charles III dan Perdana Menteri Elizabeth Truss, baginda Sultan Hassanal Bolkiah menzahirkan rasa simpati yang amat mendalam berikutan dengan kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Menurut baginda, Ratu Elizabeth II bukan saja memberi sepenuh tumpuan kepada rakyat British tetapi jua kepada rakyat Komanwel dan akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

“Dalam tempoh tujuh dekad, keberanian dan kepemimpinan baginda sebagai Ketua Komanwel menjadi sumber kekaguman, inspirasi dan kebanggaan yang menggalakkan kesepaduan dalam kalangan negara Komanwel,” titah baginda.

 Baginda serta Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mempunyai kenangan manis semasa Raja Elizabeth II dan The Duke of Edinburgh membuat lawatan ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1972 dan 1998.

Sultan Hassanal Bolkiah  masih ingat pertemuan terakhir dengan Raja Elizabeth II semasa The Queen’s Commonwealth Dinner di Istana Buckingham pada tahun 2018, di mana baginda sangat menghargai kemesraan yang ditunjukkan .

 Pertemuan itu mempamerkan keistimewaan dan hubungan erat yang sedia terjalin di antara United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam.

 

Related posts

Leave a Comment