1MDB : Siasatan individu Kuwait dilakukan

PUTRAJAYA 4 Sept. – Siasatan berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan individu di Kuwait, sedang dilaksanakan, demikian menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),

Dalam kenyataannya, SPRM berkata, sebagai peneraju utama dalam usaha pemulihan aset, pihaknya menitikberatkan tindakan mendapatkan kembali aset dan wang yang hilang akibat penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat yang terbabit.

Katanya, setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguat kuasa luar negara membabitkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit.

“Sejak dua tahun lalu, SPRM sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Agensi Penguatkuasa Kuwait.

Ketika ini SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait, yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dan perkara itu masih lagi dalam kajian pihak berkuasa di Kuwait,” katanya kenyataan itu.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan pihak di Kuwait dikatakan kecewa susulan kurang mendapat kerjasama dari Malaysia berhubung siasatan penyelewengan 1MDB membabitkan tiga individu di negara berkenaan.

Media tempatan di Kuwait seperti dilaporkan portal terbabit menyatakan ketiga-tiga individu di Kuwait itu dibebaskan dengan ikat jamin 50,000 dinar (RM725,000) setiap seorang selepas siasatan dilakukan selama berbulan-bulan.

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara sudah menolak sepenuhnya tawaran penyelesaian ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, kepada Kerajaan Malaysia pada 16 Julai lalu.

Susulan itu, SPR berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum dan menjejaskan siasatan.

Related posts

Leave a Comment