26 kes import di Singapura

SINGAPURA 30 Mac – Singapura melaporkan 26 kes baharu Covid-19 hari ini, kesemuanya kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik saja mereka tiba di Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 60,347.

Kes import hari ini termasuk tujuh orang yang merupakan rakyat Singapura dan tiga Penduduk Tetap yang pulang dari Bangladesh, India, Qatar, Sepanyol dan Britain manakala tiga lagi pemegang pas pelajar yang tiba dari Bangladesh dan India.

Dua kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India dan Nepal sementara tujuh lagi adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladeh, India, Indonesia dan Filipina – lima daripadanya adalah pembantu rumah asing.

Empat kes lagi adalah dua pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk menziarahi keluarga mereka yang merupakan rakyat Singapura atau PR dan dua lagi tiba dari Filipina dan Ecuador atas sebab projek kerja di Singapura.

Sementara itu, tujuh lagi  pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital dan ini menjadikan jumlah keseluruhan 60,138 pesakit sudah pulih sepenuhnya.

Setakat ini, 37 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih. Seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Singapura setakat ini mencatat 30 kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment