Pas pertahan rundingan tidak rasmi

ALOR SETAR 4 Sept. – Pas mempertahankan kenyataan sebelum ini bahawa ada rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)..

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata pemimpin UMNO terbabit mempunyai jawatan dan kedudukan serta boleh mengesahkan perkara dibincang kedua-dua parti.

Dalam politik, katanya, perbincangan boleh dibuat di mana-mana peringkat secara rasmi atau tidak mengikut keadaan tertentu.

“Saya boleh mengesahkan seperti dinyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kita ada bincang dengan UMNO secara rasmi dan tidak rasmi di peringkat tertentu, tetapi kita tidak boleh dedahkan.

Kita bincang dengan pemimpin yang tidak semestinya boleh buat keputusan, tetapi yang berjawatan dan ada kedudukan, yang boleh menuju ke arah perbincangan rasmi,” katanya selepas Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mengingatkan apa sahaja perbincangan berkaitan PRU-15 perlu dibuat secara terang dan bukannya berunding dalam ‘gelap’.

Takiyuddin berkata, pihaknya pernah berunding dengan Mohamad sebelum ini berhubung pandangan bagi mengelak pertembungan di kerusi yang boleh menyebabkan pihak lawan menang.

Katanya, apa ang penting ketika ini ialah mendengar permintaan ahli kedua-dua parti dan berikutan itu, rundingan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Related posts

Leave a Comment