Pas jangka menang 40 kerusi

ALOR SETAR 4 Sept. – Pas menjangkakan dapat memenangi 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berdasarkan prestasi semasa dan sokongan yang diterima setakat ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah dan Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Jika sasaran itu dapat dicapai ia bermakna tiada mana-mana parti dapat membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

Sanusi berkata, jumlah 40 kerusi yang disasarkan ini adalah batu lonjakan yang ditetapkan dalam perjalanan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050.

“Pada kita, ada 17 kerusi Parlimen ini pun, banyak perjuangan atau dasar ditentukan Menteri Pas dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat. Bayangkanlah kalau kita ada 40 kerusi.

“Siapa dapat hidup lagi pada 2050, pada masa itu mereka akan dapat menyaksikan Perdana Menteri daripada Pas,” katanya dalam sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden Pas, pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi, berkata ketika ini, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas sedang menganalisis kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk diletakkan dalam senarai 80 kawasan yang disasarkan untuk ditandingi.

Katanya, mana-mana kawasan yang tidak mencapai KPI akan digugurkan dan digantikan dengan kawasan lain, yang didapati memiliki prestasi baik dari segi persiapan jentera mahu pun keperluan lain untuk menghadapi PRU.

Mengenai penggunaan logo Pas dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu masih sedang ‘dimasak’ dan belum boleh ‘dihidang’.

“Tunggu dia ‘masak’ dulu, baru boleh hidang, tetapi nak jadi macam mana tak tahulah. Kita mengharapkan parti dapat buat keputusan terbaik yang menguntungkan Pas

“Saya pun nak macam itu juga (guna logo Pas) tetapi perkara ini kena berunding dan bincang. Rakan kena setuju sebab kalau kita ‘gagahkan’ juga (guna logo Pas) dalam keadaan rakan tak setuju, akan berlaku perpecahan menyebabkan kerugian ditanggung lebih besar. Sebab itu, kita kena berlapang dada selepas keputusan dibuat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli Pas supaya tidak memboikot parti jika rakan mereka tidak terpilih menjadi calon pada PRU akan datang.

“Mengenai calon ini juga, selalunya akan ada rombongan sama ada ke Rusila, Jalan Raja Laut atau Alor Setar. Kalau ‘mai’ Alor Setar saya ‘ligan’ kerana selepas keputusan dibuat Pas Pusat, sebarang rombongan untuk mengubah keputusan, melobi atau menukar keputusan adalah diharamkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amar , berkata selain yakin dapat memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, parti itu juga dijangka mampu mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu, serta berpotensi menang beberapa kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang dan negeri lain.

“Kita kena kerja bersungguh-sungguh supaya daripada 18 kerusi Parlimen yang ada, dapat meningkat seberapa banyak yang boleh. Seminimumnya pada pandangan dan perhitungan kita, kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Jentera Pas Pusat, di Kompleks Pas Kedah, di sini, malam tadi.

Mohd Amar berkata, tidak mustahil sasaran menang 40 kerusi Parlimen dapat dicapai jika usaha ke arah itu dimulakan jentera dan ahli parti di setiap negeri.

“Dahulu, kita tidak pernah terfikir boleh jadi kerajaan di Kedah. Di Johor, Tuhan takdirkan calon UMNO silap isi borang dan kita menang percuma di DUN Senggarang.

“Tidak ada orang terfikir UMNO akan tumbang di Malaysia pada PRU-14, dengan kuasa Allah, akhirnya (UMNO) hilang kuasa di Malaysia. Sebab perjuangan Islam ini kita tidak perlu risau, tidak ada perkara mustahil,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, parti itu menang 18 kerusi Parlimen iaitu sembilan di Kelantan, enam di Terengganu dan tiga di Kedah.

Related posts

Leave a Comment