Floria Diraja Putrajaya 2022 bermula

PUTRAJAYA 29 Ogos – Anjung Floria di Presint 4 bertukar menjadi hamparan bunga terbesar sepanjang tujuh hari penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2022 yang bermula hari ini sehingga 4 September ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2022 dan melawat tapak festival di Anjung Floria yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Shahidan Kassim.

Seri Paduka berkenan meluangkan masa lebih sejam melawat sekitar tapak festival.

dan turut dipersembahkan dengan spesies orkid Philonopsis daripada Perbadanan Putrajaya.

Seri Paduka menzahirkan kecintaan terhadap tanaman hiasan dan sayur-sayuran, dengan menjadikan penanaman sebagai aktiviti harian bersama kakitangan di Istana Negara, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya memang suka bunga dan tanam sayur. Ketika dua tahun ‘dikunci’ di istana, saya bersama dengan warga Istana Negara sempat berkebun dan tanam sayur di belakang istana.

“Sehingga kini, kebun itu masih ada tetapi disebabkan kesibukan, kami sudah kurang ke kebun.

“Banyak hasil yang kami dapat seperti timun, kangkung, bayam, bayam Brazil, kacang botor dan jagung,” titah baginda.

Sementara itu, Shahidan dalam ucapannya memaklumkan Floria Diraja Putrajaya adalah antara produk ekonomi yang menjadi penyumbang penting kepada sektor pelancongan negara.

Katanya, festival itu mampu mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan luas meliputi bidang semaian komersial, bekalan bahan tanaman bunga dan hiasan, perundingan dan penyenggaraan landskap serta perkebunan.

“Ia turut meliputi sektor bekalan jentera dan peralatan perkebunan, sewaan pokok bunga, hiasan bunga, perundingan persekitaran, pemuliharaan sumber alam dan eko-pelancongan.

“Penganjuran Floria Diraja Putrajaya menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga, landskap dan pelancongan sebagai satu daripada bidang ekonomi utama negara (NKEA), seterusnya memacu perkembangan industri ini sebagai pelaburan menguntungkan,” katanya.

Tiket masuk adalah RM15 manakala warga emas dan kanak-kanak RM5 dan percuma bagi OKU dan kanak-kanak bawah umur 6 tahun.

Related posts

Leave a Comment