Brazil catat lebih 500,000 kematian

BRAZIL menjadi negara kedua selepas Amerika Syarikat (AS) mencatatkan lebih setengah juta kematian akibat Covid-19 dengan jumlah meninggal dunia semalam, Sabtu 19 Jun sebanyak 2,495 menjadikan jumlah kumulatif 500,800 kematian.

Gelombang jangkitan semasa pula tidak menunjukkan tanda akan reda, dengan 98,832 kes jangkitan menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 di negara itu berjumlah 17.8 juta.

Senat Persekutuan Brazil secara terbuka menempelak perkembangan ini dengan mendakwa Presiden Jair Bolsonaro gagal bertindak hingga menyebabkan program vaksinasi tertangguh.

Sebaliknya, kata mereka, Bolsanaro tanpa henti mendorong penggunaan hydroxychloroquine, iaitu ubat malaria yang tidak terbukti mampu merawat Covid-19.

Dalam tempoh seminggu, Brazil merekodkan purata 2,000 kematian sehari. Jumlah ini mewakili satu per lima jumlah kematian global.

Ketua Unit Rawatan Rapi di Hospital Santa Casa De Valinhos Dr Abdel Latif memaklumkan, masih banyak kelemahan dalam penguatkuasaan untuk mengawal wabak tersebut.

“Kehilangan setengah juta nyawa dalam pertempuran melawan penyakit adalah serius. Ini adalah orang muda, ibu bapa, bukan hanya angka tanpa nama.

“Kisah mereka sedang dikuburkan. Mereka adalah anak yang menangisi kematian ibu bapa sebelum waktunya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment