Perjanjian dengan Iran belum muktamad

ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata perjanjian yang diumumkan dengan Iran minggu ini hanyalah “memorandum persefahaman” dan masih tertakluk kepada perubahan.

Ketika bercakap kepada pemberita pads pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, Trump mengingatkan jika beliau tidak menyukainya, AS akan kembali menyerang.

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya pemimpin Iran “tidak berkelakuan baik”, AS akan menyambung semula “pengeboman” ke atas wilayah negara itu.

Washington dan Tehran mencapai gencatan senjata sementara pada April lalu menerusi pengantaraan Pakistan sebelum mengumumkan perjanjian rangka kerja pada Isnin bagi menamatkan konflik.

Perjanjian itu dijangka ditandatangani secara rasmi di Switzerland pada Jumaat.

Trump berkata objektif teras perjanjian itu adalah untuk menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.

Presiden AS itu turut menolak laporan mengenai dana pembangunan berjumlah AS$300 bilion yang boleh diakses Iran dan didakwa melibatkan wang pembayar cukai AS, dengan menyifatkannya sebagai “cerita palsu”.

“Kami tidak melabur. Kami tidak mengeluarkan walaupun 10 sen,” kata Trump sambil menambah bahawa pihak lain mungkin memilih untuk melabur.

Mengenai kesan ekonomi global akibat perang itu, Trump berkata harga minyak telah “menjunam” susulan reaksi pasaran terhadap pengurangan ketegangan.

Beliau turut berkata bahawa Selat Hormuz “sudah dibuka sebahagiannya” dan menjangkakan laluan air strategik itu akan kembali beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi.

Trump berkata tanpa perjanjian itu, dunia mungkin berdepan “kemelesetan ekonomi” kerana selat berkenaan akan terus ditutup berikutan risiko serangan roket dan periuk api.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment