Noktah, PH tolak kerjasama dengan PN

SEREMBAN 29 Ogos – Mesyuarat terbaru Pakatan Harapan (PH) pada Rabu lalu memuktamadkan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Perikatan  Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata mesyuarat PH sudah membuat keputusan noktah, yang bermaksud PH akan terus berkempen dan masuk pilihan raya sebagai PH.

“Kita sedia maklum sentimen rakyat, sebab sentimen rakyat bukan soal siapa berkuasa, rakyat nak satu pembawaan yang benar-benar berjuang untuk mereka,” katanya selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di kawasan letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Menurut Rafizi, sebagai tulang belakang PH daripada dulu PKR sentiasa berpegang kepada prinsip dan pendirian dengan membabitkan semua kaum di negara ini.

“PN nak ajak bergabung dengan parti Melayu yang kononnya lebih baik dari BN atas alasan PH tidak cukup Melayu.

“Biarlah mereka (PN) kekal dengan tawaran itu, kami (PH) berpegang kepada prinsip sebelum ini bahawa kami perlu bergabung dengan semua kaum.

“Kita kena cari pemimpin yang jujur, cekap mentadbir dan bukannya soal kaum,” katanya.

Sabtu lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semasa konvensyen parti di Serdang dilaporkan berkata, bahawa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR menegaskan bahawa alasan bekerjasama untuk menumbangkan BN akan mencetuskan kerajaan yang tidak akan stabil.

“Kami dah kena dulu malah rakyat juga sudah tahu bahawa kalau niat itu tidak betul maksudnya hanya menggunakan alasan untuk menumbangkaN BN tetapi dasar, jiwa itu tidak kena dan serasi, kerajaan itu tidak akan stabil,” katanya.

Beliau juga berkata, PKR sudah biasa sebagai pembangkang dan tidak akan menjadi isu andai kedudukan itu masih kekal selepas PRU-15 nanti.

Katanya, pihaknya sedar bahawa fungsi untuk memperbaiki keadaan dalam negara memerlukan masa, satu peringkat ke satu peringkat bukan semata-mata soal menjadi Perdana Menteri dan menjadi kerajaan.

“Pemimpin yang muda macam kami orang kata tak ada seni berpolitik jadi kalau kami kata noktah, noktahlah.

“Kami tak pusing tapi pimpinan lain saya tak tahulah, mereka lebih lama, umur lebih senior. Jadi, saya tak tahu kalau mereka berbincang lagi, tetapi keputusan rasmi memang noktah, iaitu muktamad,” katanya.

Related posts

Leave a Comment