Muhyiddin jelas isu ‘buka pintu rundingan’

PUTRAJAYA 29 Ogos – Pandangan Perikatan Nasional (PN) supaya semua pimpinan parti pembangkang mempertimbangkan membuka semula pintu rundingan bersama gabungan itu, dibuat demi memastikan masa depan negara yang lebih selamat.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin, berkata ia juga bertujuan mengelak negara daripada terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya apa yang disuarakan PN itu juga berdasarkan kepada kebimbangan yang disuarakan rakyat ketika ini, jauh sekali demi kepentingan politik gabungan itu.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Rafizi Ramli bahawa Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian untuk tidak menjalin kerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekadar pendapat peribadi.

“Yang saya baca itu yang tolak (idea kerjasama bersama PN) itu Rafizi. Tak apalah kita terima pandangannya itu.

“Saya serah kepada kepemimpinan politik mengenai perkara itu. Adakah anda memikirkan soal parti anda atau adakah anda memikirkan mengenai kepentingan negara?

“Bagi saya negara lebih utama berbanding parti. Di sini menuntut suatu keberanian untuk menyelamatkan keadaan, kerana saya tahu di luar sana ramai rakyat mahu kalau boleh ada usaha juga untuk menyatukan bukan pihak pembangkang, tetapi parti-parti supaya kita boleh tawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat bila sampai pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan cadangan disuarakan PN itu juga bukanlah untuk memastikan parti pimpinannya menang dalam PRU-15 nanti.

Sebaliknya, katanya, ia bertujuan mengelak salah guna kuasa, sikap tidak menghormati sistem kehakiman negara dan mencabar kedudukan Peguam Negara.

PN sedia hadapi apa juga kemungkinan dalam PRU-15

Katanya, penting pada peringkat ini untuk memikirkan kepentingan negara dan tidak salah untuk perbincangan dibuat oleh pihak terbabit.

“Kita boleh berbincang, jika akhirnya tidak bersetuju tidak mengapa,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pihaknya sedia menghadapi apa juga situasi dalam PRU-15 nanti, sama ada membabitkan saingan tiga atau empat penjuru.

Malah, katanya beliau juga bersikap terbuka terhadap sebarang kemungkinan sama ada akan ada perbincangan lagi dengan PH atau sebaliknya.

Related posts

Leave a Comment