KLUANG 18 Jun – DAP menamakan calon pertamanya, seorang peguam wanita, Chu Poh Yee, 33 sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor akan datang.
Muka baharu itu akan mempertahankan kerusi yang sebelum ini disandang Chew Chong Sin selama dua penggal yang bakal dipertaruhkan pula bagi kerusi Parlimen Labis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan muka baharu itu pada majlis pengumuman calon DUN terbabit di sini, malam ini.
“Saya tahu apabila saya kata ada calon baharu mungkin ramai salah faham kerana mereka tertanya-tanya adakah penyandang digugurkan? Saya tahu Chong Sin berkhidmat di DUN Mengkibol sejak 2018.
Dalam lapan tahun atau dua penggal, sebagai ADUN beliau menunjukkan prestasi cukup baik kepada rakyat. Kita bukan mahu menggantinya tetapi beliau akan ditugaskan dengan satu tanggungjawab lebih besar yang mana akan diletakkan sebagai calon di Parlimen Labis,” katanya.
Katanya lagi, penukaran calon kali ini menunjukkan DAP sentiasa memberi ruang lebih ramai kepada calon wanita.
“Kita merasakan calon baharu diketengahkan ini berkualiti dari segi pendidikan, penguasaan bahasa dan mempunyai latar belakang akademik. Beliau adalah anak tempatan dan ini calon pertama daripada DAP. Kita (DAP) akan umumkan calon secara berperingkat.
“Pada Sabtu ini saya akan ke Johor Bahru untuk mengumumkan berapa lagi calon terutama di kawasan Johor Jaya,” katanya.
