PRU16: Zafrul cadang tanding di Selangor

KUALA LUMPUR 18 Jun – Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengemukakan cadangan untuk bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, cadangan itu dikemukakan kepada pucuk pimpinan PKR bagi mendapatkan persetujuan Presidennya,  Anwar Ibrahim.

“Saya telah memberikan cadangan supaya kalau ada pilihan raya, terutamanya PRU, saya diberi peluang bertanding di Selangor, tetapi belum ada keputusan muktamad,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Yayasan TZA di sini, hari ini.

Ahli PKR Cabang Ampang itu berkata secara peribadinya, beliau tidak mempunyai kawasan sasaran, tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memberikan kepercayaan kepadanya bertanding di mana-mana kawasan Parlimen yang ada kekosongan.

“Sebagai ahli parti dan ahli di Cabang Ampang memang banyak luangkan masa di Ampang dan juga di Pandan dan beberapa lagi kawasan lain yang saya diminta untuk bantu.

“Di Pandan ada kekosongan … Ahli Parlimen tidak ada lagi dan saya diminta untuk memantau di Ampang sebagai wakil,” katanya.

Tengku Zafrul yang sebelum ini calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO pada 30 Mei 2025 seterusnya menyertai PKR.

Naib Presiden PKR, Amirudin Shari kemudian mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai pegawai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang, seiring dengan langkah parti menjadikan Parlimen Pandan kawasan angkat kepada Anwar.

Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan keluar daripada PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan.

Nn

Related posts

Leave a Comment