UMNO tidak ada ‘DNA kekacauan’

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini memberi jaminan untuk tidak menjadikan jalan raya atau pusat beli-belah sebagai lokasi untuk ahli parti bersolidariti buat bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai DNA mewujudkan kekacauan apatah lagi merosakkan ketenteraman awam di negara ini.

“Walaupun berhadapan dengan fitnah dan mehnah, kita masih waras dalam bertindak. Kita adalah parti yang membawa kemakmuran, parti yang menjamin kestabilan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO, hari ini berhimpun di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sebagai tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Kita tidak memilih jalan raya untuk menzahirkan perasaan kita, kita tidak berhimpun di pusat beli-belah yang mengganggu ketenteraman awam, kita tidak berarak dengan melaungkan slogan menanam kebencian.

Kita tidak membakar lilin di hadapan penjara dan kita tidak merosakkan harta benda awam bagi melempiaskan kemarahan kita,” katanya pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan sebagai parti yang sudah membina negara, UMNO amat memahami setiap tindakan yang melampau seperti yang pernah disaksikan sejak tahun 1998, hanya akan memberikan gambaran buruk yang boleh menjejaskan kerukunan dan kestabilan negara.

“Tiada siapa dapat menafikan sejak pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, parti keramat UMNO inilah yang meletakkan asas perundangan negara berpaksikan kepada hukum.

Kita adalah pemelihara prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun pernah berlaku krisis perlembagaan dan kehakiman di awal tahun 90-an, sejarah membuktikan ia berlaku kerana tangan seorang yang sehingga kini masih kekal dengan sifat sanggup menginjak-injak apa sahaja institusi demi menghalalkan tindakan politiknya

“Dua puluh dua tahun dan 22 bulan menjadi bukti bagaimana hukum diperalat, pelaksana dijadikan bidak yang digerak mengikut kemahuannya, asalkan musuh politik dapat dibenam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment