Desakan PRU bukan kerana Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Desakan UMNO supaya diadakan segera Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) bukan kerana gila kuasa, kedudukan atau menjaga kedudukan hamba Allah bernama Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan desakan, bukan kerana beliau takut kepada hukuman bagi kes rasuah yang dihadapinya.

Sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sentiasa konsisten untuk pilihan raya diadakan segera kerana membawa suara ahli parti, selain menghormati mandat rakyat.

Katanya, beliau masih percaya bahawa sistem perundangan tidak memihak kepada mana-mana individu dan desakan supaya PRU-15 diadakan bukan kerana jawatan serta gopoh, sebaliknya ia keputusan parti dan akar umbi.

“Buat ahli UMNO dan sekalian pemerhati, ingin saya tegaskan sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan (oleh mahkamah), saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba Allah bernama Ahmad Zahid Hamidi.

Dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri sendiri dan takut dengan bayang-bayang. Hakikatnya, saya membawa suara ahli UMNO yang setia, bukan suara sumbang yang ingin menguburkan UMNO.

“Kita konsisten dan istiqamah menuntut (PRU-15) kerana kita menghormati mandat rakyat. Kita mahu kerajaan yang mempunyai keabsahan rakyat, bukan melalui percaturan politik. Garis masa itu adalah ketika Pakatan Harapan (PH) dibubarkan,” katanya dalam taklimat khas, hari ini.

Ahmad Zahid menghadapi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Beliau mengulangi penegasan bahawa UMNO konsisten menuntut PRU diadakan kerana menghormati mandat rakyat.

“Semua daripada kita tidak terkecuali mahu pilihan raya diadakan dan kita mahu pulangkan mandat itu kepada rakyat, kita konsisten sejak dari awal lagi lagi. Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan).

“Ini suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO. Realiti sebenar adalah fakta menunjukkan senario politik yang terumbang-ambing meletakkan ekonomi negara kini dalam keadaan kian meruncing.

“Kestabilan dan kebajikan yang dilaungkan umpama sebuah dongengan belaka. Hakikatnya, politik yang stabil tidak akan bergantung kepada beberapa helaian kertas perjanjian semata-mata,” katanya lagi.

Ahmad Zahid menegaskan beliau akan tetap melawan dan terus berdiri mengetuai UMNO walaupun diperangi dari segenap penjuru, Ahmad Zahid mengajak ahli parti, sama ada yang berada dalam kerajaan atau luar, supaya menjadi sebuah keluarga besar.

“Jangan ada kluster, kita hanya ada satu kluster sahaja, iaitu kluster UMNO. Cubit paha kiri paha kanan terasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment