Kempen Nukilan Buat Najib

KUALA LUMPUR 27  Ogos – UMNO akan melaksanakan empat pendekatan yang diinsipirasikan daripada perjuangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan pertama adalah menggerakkan kempen Nukilan Buat Najib, yang akan turut dijayakan di peringkat bahagian dan cawangan yang sedang bermesyuarat pada bulan ini.

“Tulislah catatan masing-masing dan berilah kata-kata semangat, perangsang dan ucapan terima kasih kepada beliau. Ibu pejabat akan mengumpulkannya dan menjadi surat rakyat untuk tatapan beliau yang sedang terkurung di sana.

“Kedua, kita perlu bersedia dan memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan apabila tiba masanya. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya kelak.

“Ketiga adalah menjadikan tulisan Facebook Datuk Seri Najib Razak sebagai bacaan untuk kita terus “like dan share”. Ia adalah senjata UMNO dan perlu digilap, digunakan sentiasa, dijadikan pemikiran dan semangat tulisan ini sebagai senjata hidup UMNO untuk terus memerangi musuh politik kita,” katanya pada Taklimat Khas Presiden UMNO, di sini, hari ini.

Pendekatan terakhir, beliau berkata, ahli perlu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.

“Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) adalah pengukuhan kepada obor perjuangan Najib untuk parti dan negara.

“Kami percaya, kerajaan kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan membiarkan harapan ini pudar sekiranya tarikh PRU dilengahkan,” katanya.

Beliau juga meminta anggota parti meneruskan perjuangan parti demi menghayati semangat dan daya juang Najib dengan memastikan kejayaan perjuangan parti adalah pembelaan kepada bekas Presiden UMNO itu.

Di samping itu, Ahmad Zahid juga mengajak anggota parti supaya mempunyai matlamat yang sama.

“Keputusan parti adalah keputusan bersama, yang wajib kita patuhi, kerana ini adalah keputusan yang dibuat secara berjemaah.

“Jangan ada syak wasangka sesama sendiri. Jangan wujudkan parti di dalam parti.   Kita perlu satukan pemikiran, kita perlu satukan tekad dan matlamat. Kita perlu mencatatkan tinta sejarah, bahawa kita adalah daripada kalangan yang bangkit daripada kejatuhan dan mengembalikan semula maruah parti yang tercalar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment