Luahan rasa anak-anak Najib

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Luahan rasa dua anak bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak menarik perhatian ramai pada perjumpaan khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Kebanyakan mereka juga tersentuh apabila anak perempuan Najib iaitu Nooryana Najwa membaca warkah dari penjara yang ditulis oleh Najib.

Turut diberi peluang untuk berucap pada majlis yang juga dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor adalah anak lelaki Najib iaitu Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Pekan.

Nooryana yang menitiskan air mata ketika berucap berkata, beliau sudah menanam janji untuk terus memperjuangkan keadilan buat bapanya selain meneruskan perjuangan Najib dalam parti.

“Selasa, 23 Ogos hari yang paling sukar untuk kami dan memori terakhir bersama daddy (bapa) ketika dikelilingi oleh pegawai polis hanyalah sehelai tie. Daddy sempat berbisik tolong simpan tie ini kerana tie ini kegemaran daddy.

Sejak kecil, saya hanya nantikan daddy ikat tie dengan sempurna tanpa perlu melihat cermin.

“Saya pernah bertanya mengapa daddy tak ada kerja biasa seperti ayah orang lain… doktor ka, akauntan ka, dengan tenang daddy menjawab, kalau kerja biasa seperti orang lain hanya boleh bantu beberapa orang saja tapi sebagai ahli politik, daddy boleh bantu dan mengubah kehidupan jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

Berkongsi memori bersama bapanya, Nooryana Najwa berkata, rakyat adalah umpama anak buat bapanya sehingga sanggup berkorban masa dan tenaga selama lebih 46 tahun demi keselesaan dan kesenangan yang dikecapi rakyat ketika ini.

Menurut beliau lagi, setiap masa bapanya menghabiskan masa untuk memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat dan berusaha mengubah kehidupan rakyat.

Selepas 2018 katanya, daddy terpaksa membahagikan masa pagi ke petang di mahkamah dan pada waktu malam menjalankan tugas parti dan rakyat.

“Ini kerana daddy menyayangi setiap rakyat umpama anak-anak sendiri, kadang kala kami rasa daddy lebih sayangkan rakyat daripada kami.

“Alhamdulillah, hasil kerja keras daddy, BN (Barisan Nasional), UMNO kembali diterima rakyat tapi malangnya hari ini, daddy bersendirian.

“You alone (kamu sendirian), daddy sudah berusia hampir 70 tahu tidak patut meneruskan kehidupan seperti ini. Suasana di rumah tidak sama tanpa daddy, kerusi kegemaran kosong dan Kiky (kucing peliharaan Najib) pun menunggu daddy,” luahnya dalam keadaan sebak.

Sementara itu, Mohd Nizar,  berkata, Najib bukan hanya seorang bapa kepada keluarganya tapi juga figura rakyat Malaysia.

Beliau berkata, bapanya menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas dan banyak membantu rakyat sejak mula menyertai politik 46 tahun lalu, terutama di Parlimen Pekan.

“Begitu banyak jasa beliau kepada kerajaan, tidak menyangka nasib begini menimpa beliau.

“Suasana amat sedih, pilu dan hiba, terutama Parlimen Pekan. Bayangkan seorang pemimpin Ahli Parlimen yang berkhidmat 46 tahun tiba-tiba tiada di kawasan, menangis tidak henti rindu ayahanda, tidak kurang juga majlis program dibatalkan kerana Pekan masih berduka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment