PRU-15 : PH bersedia seawal Oktober

SHAH ALAM 27 Ogos – Pakatan Harapan (PH) bersedia sepenuhnya untuk mengharungi ‘perang’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), seawal Oktober ini, kata Pengerusi PH,  Anwar Ibrahim.

Katanya, gabungan itu juga kini merangka strategi baharu, dengan mengambil kira kelemahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

“Pada Oktober, kita sudah bersedia sepenuhnya. Kita akui beberapa kelemahan dalam PRN dan kini kita lihat suasananya sudah berbeza,” katanya.

Beliau berkata, sebagai satu pasukan dan sebahagian besar keputusan PRN adalah terpalit daripada penguasaan selama 22 bulan kerajaan PH, sama ada sumbangan atau kelemahannya.

“Disebabkan itu, dalam mesyuarat lalu, keputusan kita adalah untuk bersama dalam PH dengan satu logo, tetapi dengan membuat penyesuaian supaya tidak dibebankan rakyat dengan anggapan bahawa pendekatan kita adalah sama,” jelasnya pada sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 di sini, hari ini

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, strategi Keadilan di bawah Pengarah Pilihan Raya iaitu Timbalan Presiden, Rafizi Ramli sekarang jauh berbeza.

Sama ada PH akan menyertai khemah besar, Anwar berkata: “Mesyuarat PH yang lalu memutuskan dengan jelas bahawa keutamaan gabungan itu adalah memperkukuh dan membulat tekad PH sebagai satu badan… noktah.

“PH adalah gabungan yang kuat, jadi kita perkukuh gabungan ini. Gabungan ini sudah membuktikannya pada PRU 2013 dan 2018, jadi kita harus perkuatkan sedikit lagi. Dalam mesyuarat PH dan terbaru (sudah diputuskan), tidak timbul lagi masalah,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata, masih terlalu awal untuk parti dan gabungan itu menetapkan sasaran untuk memenangi mana-mana negeri pada PRU akan datang, selain tiga negeri yang dikuasai sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment