Kenaikan harga lebih terkawal

BERA 27 Ogos  – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat mula melihatkan hasil yang positif, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan lebih meyakinkan terutama ayam dan minyak masak dalam botol.

Beliau berkata, kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup dan inflasi semasa yang melanda seluruh dunia.

Menurut Ismail Sabri, langkah kerajaan seterusnya memperluaskan dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Kebangsaan dan Penjenamaan Semula Program JMKM di sini hari ini.

ReDI, salah satu program berimpak tinggi KPDNHEP bagi memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-dompet dalam kalangan para pengguna dan peniaga diperluaskan ke kawasan luar bandar.

Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai ini, kerajaan menawarkan inisiatif e-voucher Program Jualan Malaysia dengan peruntukan RM2 juta mulai 30 Ogos 2022 hingga 31 Disember 2022 dan e-voucher boleh dimuat turun melalui aplikasi MySales Tracker KPDNHEP.

Program JMKM yang bermula pada minggu ketiga bulan ini hingga Disember ini menawarkanpengurangan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM80 juta melalui lima kementerian sebagai agensi pelaksana untuk menjayakan JMKM sehingga akhir tahun ini, yang diharapkan akan memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.

Related posts

Leave a Comment