Sama ada tahun ini, tahun depan BN kalah

SERDANG 27 Ogos –  Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk melangkah masuk gelanggang berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Malah, beliau yakin Barisan Nasional (BN) dapat ditumpaskan dalam PRU-15 tanpa mengira sama ada Parlimen dibubarkan tahun ini atau tahun depan, berdasarkan laporan yang mendakwa sokongan terhadap BN semakin merosot.

“Saya ada baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN. Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan.

Kalau tunggu tahun depan, BN mungkin kalah. Kalau tahun ini pun, BN akan kalah.

Apa pun, kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita sudah memasuki ke tahun terakhir penggal pilihan raya ini.

“Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang,” kata Presiden Bersatu itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Dalam hal ini juga, Muhyiddin memaklumkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, perlu berbincang dengan PN terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh PRU-15, selaras perjanjian kedua-dua pihak.

“Mengikut perjanjian antara PN dengan Perdana Menteri yang saya dan Perdana Menteri tandatangani, bila Perdana Menteri nak tentukan tarikh pilihan raya, beliau kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian penting daripada kerajaan.

“Tak tahulah saya sama ada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu,” katanya.

Muhyiddin berpandangan, wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan sehari selepas pembentangan Bajet 2023 yang diawalkan kepada 7 Oktober depan, berbanding tarikh asal 28 Oktober.

“Kita tahu PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya tahun hadapan, walaupun kita dengar ura-ura berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat.

“Mungkin lepas Perdana Menteri bentang Bajet 2023 pada 7 Oktober, esoknya mungkin Parlimen dibubarkan. Itu telahan saya,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin mendakwa desakan parti tertentu supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin bertujuan untuk parti itu kembali berkuasa bagi menyelamatkan pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itulah tujuan kita berada di dalam wadah PN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment