PH kerajaan mi segera

SERDANG 27 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini didakwa dipenuhi kecelaruan dan kegopohan, selain disifatkan sebagai ‘kerajaan mi segera’, kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

“PH kerajaan yang gopoh dan ‘kerajaan mi segera’. Masaknya segera, banyak hal-hal mentah, hingga ia terpaksa dijatuhkan. Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru.

“Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan,” kata  Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Berucap pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini, Abdul Hadi mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan PN sebelum ini ditubuhkan secara demokratik pada Mac 2020, bukan menerusi ‘pintu belakang’.

Katanya, Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum itu keluar daripada UMNO dan PH, bersama parti lain seperti Pas serta parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO, membuat perubahan kerajaan secara demokratik.

“Ini bukan pintu belakang, tetapi demokratik melalui (kaedah) mengumpul jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini demokrasi,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH dalam keadaan teratur tanpa pertumpahan darah, demonstrasi atau pergaduhan antara rakyat dengan pihak berkuasa.

Malah, katanya, Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selepas itu demi memastikan perpaduan dan kelangsungan pentadbiran PN sehingga kini.

Beliau turut mengangkat kejayaan PN menyelesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan salah laku serta isu bantuan yang tidak sampai ke sasaran dalam tempoh masa singkat, meskipun ia ditubuhkan tanpa memiliki manifesto atau janji.

“Dalam keadaan gangguan yang banyak daripada luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan sampai hari ini,” katanya.

Abdul Hadi juga mahu semua parti komponen PN berpadu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menolak ‘peristiwa lama’ serta ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’.

Langkah itu penting untuk memastikan gabungan Bersatu, Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) itu dapat membentuk kerajaan yang kukuh.

Related posts

Leave a Comment