Cadang Pas guna ‘bulan’ di Terengganu

SERDANG 27 Ogos – Seorang perwakilan Perikatan Nasional (PN) Terengganu menyarankan satu kaji selidik dijalankan untuk menilai sama ada lambang Pas atau PN yang boleh menjamin kemenangan besar di Terengganu dalam PRU-15.

Pengarah Pilihan Raya PN Terengganu yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Alur Limbat daripada Pas, Ariffin Deraman, berkata ia berikutan senario politik di Pantai Timur berbeza berbanding peringkat Persekutuan.

Beliau yang mencadangkan PN di negeri itu menggunakan lambang Pas berkata, cadangan itu bukan bermakna pimpinan Pas tidak menerima lambang PN, tetapi kajian di Kelantan dan Terengganu adalah bagi melihat penerimaan masyarakat, lambang mana yang terbaik.

“Kita boleh terima kalau keputusan kajian ini menunjukkan bawah lambang PN boleh memastikan kemenangan besar (di Terengganu) dalam PRU akan datang,” katanya berucap pada Konvensyen PN 2022 di sini, hari ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu itu berkata, cadangan penggunaan logo Pas itu wajar dipertimbang kerana parti itu adalah satu-satunya yang mampu bersaing dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pantai Timur.

“Sejak dulu, secara tradisinya yang mampu berdepan UMNO dan BN di Kelantan dan Terengganu adalah Pas, sama ada secara bersendirian atau dengan parti lain sebagai rakan sekutu,” katanya.

Beliau menarik perhatian, pada 1969, Pas bekerjasama dengan Parti Negara dan berjaya membentuk kerajaan negeri manakala pada 1999, Pas bekerjasama dengan PKR menggunakan logo Pas, sekali lagi membentuk kerajaan negeri.

Dalam PRU-14 pada 2018, Pas bersendirian di Terengganu menentang UMNO/BN serta Pakatan Harapan (PH), dan sekali lagi Pas berjaya membentuk kerajaan negeri.

 

Related posts

Leave a Comment