PN utamakan kepentingan rakyat

SERDANG 27 Ogos – Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan ia dibuktikan ketika negara bergelut dengan cabaran pandemik pada 2020, kata Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Situasi itu katanya berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan ‘ambil mana yang sempat’.

Beliau menegaskan tidak pernah mengambil walau satu sen pun duit rakyat ketika menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mengarahkan Menteri Kewangan mencari wang tambahan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Inilah beza PN dan BN. Saya beri arahan kepada Menteri Kewangan supaya cari duit, bukan curi duit, untuk diberikan kepada rakyat yang susah.

Pakej pertama tak cukup, pakej kedua tak cukup, pakej ketiga tak cukup, lapan pakej rangsangan berjumlah lebih setengah trilion ringgit kita buat. Satu sen pun saya tak makan duit rakyat.

“Pengerusi BN pula arah Menteri Kewangan kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.

“Walaupun PN dan BN namanya hampir sama, beza PN dan BN jauh ibarat langit dan bumi. Saya harap pengundi jangan salah memilih dalam PRU-15. Pilih PN, bukan BN,” katanya dalam ucaptama Konvensyen PN 2022 di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, amalan ‘ambil apa yang sempat’ tidak boleh menjadi budaya dalam PN kerana salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.

Selaku gabungan politik baharu, bekas Perdana Menteri itu percaya PN berpeluang memupuk dan membina budaya politik baharu yang sihat, bebas rasuah dan berintegriti, berlandaskan kepatuhan kepada nilai agama, moral dan etika.

“Amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ tidak boleh menjadi budaya dalam PN.

“Jika dibiar membarah, ia boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun,” katanya.

Muhyiddin juga menggesa penggubalan Akta Pendanaan Politik disegerakan dan PN boleh menubuhkan jawatankuasa peringkat parti untuk mengkaji cadangan itu sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

“Saya juga mahu subjek transformasi politik bebas rasuah dan berintegriti menjadi agenda utama PN yang boleh dibahas lebih lanjut di konvensyen ini dan dikemukakan syor untuk diteliti Majlis Tertinggi PN dan diambil tindakan susulan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment