Wanita dalam pasaran buruh masih rendah

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini masih rendah, iaitu 55.5 peratus sedangkan populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar itu juga rendah  jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus dan Thailand 66.8 peratus.

“Walaupun kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi, bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, pembabitan wanita adalah rendah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke sambutan itu dan berkenan melancarkan buku ‘Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Masa Kini’.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Rina Mohd Harun dan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Nancy Shukri dan Yang Dipertua NCWO, Prof Emerita Syarifah Hapsah Syed Hasan.

Ismail Sabri berkata, masih banyak ruang perlu ditambah baik dan diteliti membabitkan perkara berkaitan wanita termasuk aspek itu supaya sebarang isu berkaitan golongan terbabit dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, pemerkasaan wanita sentiasa menjadi keutamaan kerajaan kerana golongan itu di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan sebagai tonggak pembangunan negara.

Justeru, katanya, kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju mewujudkan ‘Gender Focal Point’ dan ‘Gender Focal Team’ di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarusperdanakan gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar serta inisiatif kerajaan.

“Selain itu, kerajaan mengiktiraf program dan inisiatif dimainkan pelbagai pihak seperti institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor awam dan banyak lagi untuk memperkasakan wanita di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan memperkasakan wanita terbukti apabila Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri ditubuhkan di peringkat Persekutuan dan negeri sebelum ini.

Katanya, bagi pencapaian terhadap program pemerkasaan wanita, sehingga Ogos lalu, seramai 591,000 kumpulan sasar terutama golongan wanita mendapatkan perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) membabitkan sesi bimbingan dan kaunseling.

“Melalui program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional pula, sehingga kini seramai 1,264 usahawan wanita sudah menerima manfaat manakala sehingga 31 Julai, seramai 265 peserta mendapat pembiayaan di bawah program DanaNita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Bagi program MyKasih Kapital sejak April 2021 hingga Julai 2022, seramai 10,496 wanita dalam kalangan B40 sudah menerima manfaat.

“Kerajaan juga memperkenalkan Program Wanita Bangkit@KPWKM membabitkan kerjasama strategik dengan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan serta aktiviti keusahawanan, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 wanita di seluruh negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment