Bersedia hadapi gelombang jangkitan semula

SINGAPURA 25 Ogos – Gelombang besar Covid-19 yang akan datang mungkin bersifat gelombang jangkitan semula, susulan 70 peratus penduduk republik ini sudah dijangkiti penyakit itu setakat ini.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata sementara Singapura lebih berdaya tahan sekarang, ia perlu bersiap sedia menghadapi gelombang Covid-19 menjelang hujung tahun, yang mungkin disebabkan varian membimbangkan (VOC) baru.

“Varian baharu itu dikhuatiri dapat mengelak imuniti daripada jangkitan sebelum ini,” katanya pada sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 semalam

Beliau berkata kes jangkitan semula meningkat hingga membentuk sekitar 5.5 peratus daripada jumlah kes di sini bulan ini, berbanding dua hingga tiga peratus kes pada kali terakhir beliau memberi maklumat terkini mengenai jangkitan semula itu di Parlimen.

Jumlah individu yang tidak pernah dijangkiti Covid-19 jauh lebih rendah sekarang dan ini bermakna… gelombang besar seterusnya akan merangkumi banyak kes jangkitan semula.

“Malah, imuniti yang diperoleh hasil dijangkiti virus itu juga akan berkurangan lama-kelamaan. Itulah sebabnya pemerintah sedang memantau jumlah kes jangkitan semula dengan rapat kerana ini akan memberi pihak berkuasa petunjuk bila gelombang seterusnya boleh berlaku,” katanya.

Menurut perangkaan, kemungkinan seseorang dijangkiti semula COVID-19 lapan bulan kemudian kekal amat rendah sekitar lima peratus berbanding individu yang tidak pernah dijangkiti COVID-19.

Ye Kung turut menarik perhatian bahawa negara di hemisfera Utara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini sedang bersiap sedia menghadapi gelombang musim sejuk dan kemungkinan VOC baru.

Oleh itu, beliau berkata usaha persiapan Singapura harus merangkumi tiga bidang, iaitu langkah pengurusan selamat, keupayaan penjagaan kesihatan dan vaksinasi.

“Sekiranya kita dapat menangani (keupayaan penjagaan kesihatan dan vaksinasi) dengan baik, kita dapat mengelak daripada langkah pengurusan selamat yang bersifat menyekat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment