Nafi teori virus makmal China

BEIJING: Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat asal usul Covid-19 menafikan teori virus itu dihasilkan di makmal China sebaliknya siasatan menemui pelbagai maklumat baharu, namun ia tidak mengubah dapatan sebelum ini.

Ketua misi, Peter Ben Embarek dalam sidang media di sini semalam menegaskan, lebih banyak siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca virus penyakit Covid-19 itu.

Pasukan penyiasat WHO kini berada di akhir misi mereka dan memaklumkan siasatan kini akan ditumpukan ke Asia Tenggara.

Wuhan, daerah tengah dalam wilayah Hubei adalah lokasi pertama Covid-19 dikesan pada 2019 dan sejak itu lebih 106 juta kes dan 2.3 juta kematian dicatatkan akibat virus itu di seluruh dunia.

Penyiasat WHO percaya virus berkenaan berasal dari haiwan sebelum dipindahkan kepada manusia.

Walaupun dapatan asal merumuskan virus berasal dari kelawar, namun ia dipercayai bukan dari Wuhan.

Pasukan itu turut menyarankan China menyiasat rangkaian pengangkutan produk sejuk beku, kerana disyaki menjadi punca pemindahan virus.

Misi WHO bermula Januari lalu susulan rundingan beberapa bulan dengan Beijing.

Siasatan misi pasukan WHO ini dipantau rapat oleh pihak berkuasa China.

Sementara itu siasatan berhubung asal-usul koronavirus di Wuhan bergantung kepada data yang telah dianalisis dan disampaikan oleh pakar China.

Perkara ini disahkan pakar dari Denmark Thea Koelsen Fischer, salah seorang anggota pasukan WHO yang menyiasat asal-usul koronavirus SARS-CoV-2.

Jelasnya, itu adalah amalan biasa untuk hanya memiliki akses ke data gabungan disebabkan status sebagai pakar luar.

“Saya harus bergantung kepada sejumlah besar data yang telah dianalisis dan disampaikan kepada saya.

“Tetapi saya tidak mempunyai data mentah, seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain di dunia sebagai orang luar dan melihat kepada individu yang mengenali data.

“Anda kemungkinan besar, dalam kebanyakan senario mendapat akses ke data gabungan seperti dalam kes ini,” katanya.

Fischer memaklumkan sudah diberi lampu hijau untuk bertemu dengan perwakilan dari pusat penderma darah Wuhan.

Dalam pertemuan itu, penyiasat WHO mengemukakan bukti bahawa sampel darah lebih lanjut disediakan.

Wakil China juga terbuka untuk kajian bersama pada masa depan.

Related posts

Leave a Comment